Ramasamy kecewa hanya satu jawatan menteri kepada kaum India

Ramasamy kecewa hanya satu jawatan menteri kepada kaum India

PEMIMPIN DAP melahirkan rasa kecewa dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hanya memberikan satu kerusi menteri kepada kaum India.

Kekecewaan itu disuarakan Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy yang berpendapat, jika parti yang kalah boleh diberikan kedudukan dalam Kabinet, Anwar sepatutnya boleh memberi pengiktirafan sama kepada pemimpin India lain.

“Masyarakat India sememangnya kecewa apabila mereka tidak diiktiraf untuk jawatan Kabinet.

“Bukan tidak cukup pemimpin India yang berbakat dalam PKR dan DAP. Jika kerajaan baru tidak bersedia untuk mengiktiraf kaum India, maka ke mana mereka mahu pergi,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Untuk rekod, hanya seorang Ahli Parlimen kaum India DAP, V Sivakumar dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia dalam senarai Kabinet yang diumumkan Anwar pada Jumaat lalu.

Menurut Ramasamy, masyarakat India telah beralih sokongan politik kepada Pakatan Rakyat sejak pilihan raya umum pada 2008.

Malah, sokongan kaum India kepada Pakatan Harapan (PH) diteruskan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), dan dianggap mempunyai kuasa menggerunkan.

Justeru, katanya, pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri seolah-olah menjadikan impian kaum India sebagai kenyataan.

“Semua orang India mahu sebuah institusi yang akan menghormati hak sama rata mereka di negara ini, sekali gus diskriminasi kaum dan agama terhapus secara beransur-ansur,” katanya.

Ramasamy berkata, susulan sokongan tidak berbelah bagi kaum India kepada PH, mereka pastinya mengharapkan ganjaran setimpal atas kesetiaan dan komitmen politik.

Jelasnya, kaum India mahu pemimpin mereka dianugerahkan jawatan dalam kerajaan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar komuniti tersebut kepada negara.

“Namun, pengumuman Kabinet baru-baru ini mendatangkan kekecewaan besar kepada masyarakat India,” katanya. – Malaysiapost

Komen