Saifuddin dedah kisah belakang tadbir pembentukan Kerajaan Perpaduan

Saifuddin dedah kisah belakang tadbir pembentukan Kerajaan Perpaduan

SETIAUSAHA Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mendedahkan bahawa usaha pembentukan Kerajaan Perpaduan bukan hanya bermula selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diumumkan.

Beliau yang kini menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri sebagai senator, berkata sebaliknya ia digerakkan lebih awal daripada itu dan beliau antara individu yang memainkan peranan menjayakan usaha berkenaan.

Saifuddin menegaskan, kerajaan yang dibentuk sekarang ini adalah Kerajaan Perpaduan membabitkan PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan dan Parti Bumiputera Malaysia (PBM).

Menurutnya, idea Kerajaan Perpaduan itu dikemukakan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong kepada ketua-ketua parti yang dipersetujui semua kecuali Perikatan Nasional (PN).

“Kerajaan Perpaduan suatu formula ke arah kestabilan politik. Dari situ membawa kemakmuran ekonomi. Hasilnya kehidupan rakyat terjaga.

“Saya berbangga menjadi sebahagian watak yang ikut menyumbang ke arah pembentukan kerajaan perpaduan ini. Berbeza pandangan ramai, usaha ini bukannya bermula pada tarikh keputusan PRU-15 diketahui pada 19 November lalu.

“Kita sudah lama membaca perubahan landskap politik negara yang tidak memungkinkan sebuah parti atau gabungan membentuk kerajaan sendiri,” katanya di Facebook menceritakan kisah belakang tabir pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, ketika itu semua parti atau gabungan adalah potensi rakan untuk diajak berunding dan beliau merasa bertuah kerana pandangan jauh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ikut mendokong pendekatan politik inklusif.

“Meramaikan kawan dan mengurangkan musuh. Saya diberi peluang dan peranan seluas-luasnya untuk membina rangkaian politik rentas parti selama aktif dalam PKR.

“Rangkaian ini berteraskan percaya dan hormat. Bermula dengan PH itu sendiri. Hubungan sesama pimpinan cukup akrab,” katanya.

Beliau berkata, hubungan peribadinya sekian lama dengan pimpinan BN khususnya Umno, MIC dan MCA, selain pimpinan parti dari sarawak dan Sabah memudahkannya untuk berunding.

“Sejurus keputusan PRU-15 memaparkan tiada parti yang memperolehi majoriti, pimpinan PH membuat ketetapan segera berunding dengan parti-parti lain. Menjadi pembangkang bukannya satu pilihan. PH mesti menjadi kerajaan dan Anwar diletak sebagai Perdana Menteri.

“Bermula dari situ saya diarah mengatur gerak mendekati watak-watak utama parti-parti bukan PH yang telah memenangi sejumlah kerusi untuk diajak ikut serta.

“Ternyata langkah yang diatur kali ini menjadi jauh lebih mudah tatkala idea kerajaan perpaduan disyorkan tepat pada masanya oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Mengambil kira rentetan berlaku, Saifuddin mengakui pendekatan politik terbuka yang sentiasa diamalkan menjadi kunci kepada kejayaan pembentukan Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar.

“Politik itu dinamik, justeru pendekatan politik juga harus fleksibel

“Hormat kawan dan lawan kerana kita tidak tahu bila kita akan saling memerlukan, selain bersabar kerana politik suatu ‘marathon’ yang lambat untuk mencapai destinasinya,” katanya. – Malaysiapost

Komen