262 peserta RTK Paya Laka terima bantuan khas kewangan

262 peserta RTK Paya Laka terima bantuan khas kewangan

Ben Ibrahim

SERAMAI 262 peserta Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Paya Laka, dekat Sepayang, Rompin menerima ‘durian runtuh’ hari ini.

Perkara itu maklumkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika ditemui media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Infrastruktur Agrotourism di kampung itu.

“Hari ini juga oleh sebab di RTK Paya Laka ini kita ada sedikit keuntungan, kita juga telah membayar bantuan khas kewangan kepada setiap peserta sebanyak RM500 yang telah dimasukkan ke akaun mereka,” katanya.

Pembayaran bantuan khas kewangan itu dibuat Pertubuhan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) melalui anak syarikatnya PKPP Agro Sdn Bhd.

RTK Paya Laka seluas 324 hektar itu adalah kawasan sawah padi yang diusahakan sejak tahun 1995.

Projek agrotourism di kawasan berkenaan adalah hasil cetusan idea bekas Pengerusi PKPP, Datuk Seri Hasan Ariffin dan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain.

Projek berkenaan yang mempunyai dua fasa itu akan dimulakan selewat-lewatnya awal tahun depan dan dijangka siap 12 bulan selepas proses tender selesai. – Malaysiapost

Komen