Agong, Permaisuri zahir ucapan tahniah, seru rakyat teladani kejayaan Adnan Yaakob

Agong, Permaisuri zahir ucapan tahniah, seru rakyat teladani kejayaan Adnan Yaakob

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah menzahirkan ucapan tahniah kepada Tan Sri Adnan Yaakob yang berjaya menamatkan pengajian semalam.

Bekas Menteri Besar Pahang yang berusia 72 tahun itu memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Menurut kenyataan Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan beliau, sekali gus membuktikan bahawa usia bukan halangan untuk mencapai kejayaan cemerlang.

“Seri Paduka Baginda berdua menyeru rakyat meneladani kejayaan Adnan yang juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, kita mampu bersaing dan berjaya.

“Seri Paduka menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Adnan dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Adnan turut menerima Anugerah Senarai Rektor kerana prestasi cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.62 pada Istiadat Konvokesyen UIAM ke-38.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Pahang dari 1999 hingga 2018.

Beliau merupakan Menteri Besar Pahang yang paling lama berkhidmat iaitu selama 19 tahun sebelum melepaskan jawatan itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018. – Malaysiapost

Komen