Alasan ‘luar biasa’ Rafizi tak masuk akal, bidas Wan Ahmad Fayhsal

Alasan ‘luar biasa’ Rafizi tak masuk akal, bidas Wan Ahmad Fayhsal

ALASAN keadaan ‘luar biasa’ yang diberikan Rafizi Ramli berkenaan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pada masa sama menerajui Kementerian Kewangan disifatkan tidak masuk akal.

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad berkata, Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar memiliki beberapa tokoh pemimpin yang sesuai untuk dilantik sebagai Menteri Kewangan.

“Kenapa Perdana Menteri boleh pegang jawatan Menteri Kewangan? Jawapan/Alasan: kerana keadaan “extraordinary” ataupun ”luar biasa”.

“Ternyata hujah Menteri Ekonomi (Rafizi) ini tidak masuk dek akal kerana boleh saja pemimpin lain dalam PKR memegang jawatan ini kalaupun tak mahu bagi kepada (Tengku) Zafrul, Johari Ghani dan lain-lain.

“Malah Rafizi sendiri layak memikul portfolio ini kalau bukan Anwar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, dalam sidang media hari ini, Rafizi memberi alasan tindakan Perdana Menteri menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan adalah kerana keadaan ‘luar biasa’.

Rafizi menjelaskan, secara ideal baginya jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan patut dipisahkan dan beliau kekal dengan pendirian itu.

“Oleh kerana keadaan (semasa) luar biasa, keputusan itu (Perdana Menteri menjadi Menteri Kewangan) sesuai buat masa sekarang,” katanya.

“Senang Perdana Menteri menjadi Menteri Kewangan supaya ia tidak timbul isu gabungan yang berbeza,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, alasan Rafizi itu lucu kerana bertentangan dengan prinsip yang pernah dicanangkan oleh Ahli Parlimen Pandan itu sebelum ini.

“Kenapa dipusatkan kuasa kepada Perdana Menteri yang mana kempen dan pendirian Pakatan Harapan sendiri zaman-berzaman mahu pengasingan kuasa ini dibuat.

“Apa jaminan keadaan ini tidak mencetuskan skandal yang sama seperti 1MDB? Bukankah ini agenda dan pendirian utama Reformasi institusi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu sendiri? Apa sudah jadi?

“Lebih kelakar Rafizi kata pendirian dia tak berubah tapi hakikatnya beliau tak berdiri atas pendirian itu. Maknanya tak ada pendirian lah. ‘Transactional politician’. Politik hanyalah transaksi. Tiada prinsip.

“Esok negara pun dia boleh jual asal untungkan diri sendiri. Itulah sifat Kerajaan Campuran Pakatan Harapan yang ada kini,” katanya. – Malaysiapost

Komen