Anthony Loke turun padang senyap-senyap menaiki tren LRT

Anthony Loke turun padang senyap-senyap menaiki tren LRT

MESKIPUN hari ini merupakan hari pertama secara rasmi memulakan tugas sebagai Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook tidak menunggu lama untuk turun padang meninjau sistem pengangkutan awam di ibu negara.

Sistem perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya menjadi acara turun padang sulungnya yang baharu dilantik sebagai Menteri Pengangkutan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lalu.

Menerusi perkongsian di Facebook miliknya, Loke memaklumkan beliau membuat tinjauan itu sendirian semasa waktu puncak, antara jam 5 hingga 7 petang tadi.

Dalam hantaran itu, Loke turut memuat naik beberapa gambar yang memaparkan beliau hanya mengenakan kemeja kasual lengkap dengan topi dan pelitup muka.

Kehadiran Loke tidak disedari orang awam dan polis bantuan yang berada di stesen LRT berkenaan.

“Petang tadi, saya meluangkan masa 2 jam untuk meninjau keadaan sebenar perkhidmatan LRT KJ line semasa peak hour di antara pukul 5-7 petang.

“Keadaan cukup sesak dalam tren dan sudah tentu tidak selesa kepada penumpang.

“Saya tidak memaklumkan kepada pihak pengurusan Prasarana dan pihak media kerana saya nak mengalami sendiri keadaan sebenar seperti penumpang-penumpang biasa untuk merasai apa yang mereka perlu lalui setiap hari,” katanya.

Di akhir hantaran itu, Loke yang merupakan Ahli Parlimen Seremban turut memaklumkan akan mengadakan mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Prasarana dalam minggu ini juga bagi membincangkan hala tuju dan cara untuk menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam. -Malaysiapost

Komen