Anwar arah Zahid urus bencana banjir, Fadillah selesaikan isu MA63

Anwar arah Zahid urus bencana banjir, Fadillah selesaikan isu MA63

DUA tugas besar diamanahkan kepada kedua-dua Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini negara sedang bersiap sedia menghadapi bencana banjir, terutama unjuran Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) yang meramalkan keadaan cuaca lebih buruk pada masa mendatang.

“Susulan itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mempengerusikan pengurusan bencana dan langkah segera untuk menghadapi (banjir), memantau serta membuat persiapan.

“Datuk Seri Fadillah Yusof pula diberi tugas untuk memastikan semua perkara yang masih tersangkut dalam MA63 disegerakan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya, hari ini.

Perdana Menteri berkata, kebanyakan terma MA63 sudah dapat diselesaikan tetapi beberapa isu masih menimbulkan keresahan dalam kalangan pemimpin di Sarawak dan Sabah.

Justeru, Anwar berkata, Fadillah diberi tempoh sebulan supaya penyelesaian ketara dapat dicapai dalam menangani isu ditimbulkan.

Jika perlu, Anwar menegaskan, penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri boleh dilakukan untuk memantau pelaksanaan perjanjian berkenaan.

Anwar berkata, sebelum ini Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg ada membangkitkan mengenai isu membabitkan kesulitan pelaksanaan terma perjanjian terbabit kerana ia memerlukan kelulusan daripada banyak jabatan dan kementerian.

“Hal ini saya percaya akan dicadangkan TPM untuk dapat dilaksanakan segera kerana saya tidak mahu perkara ini berlanjutan.

“Ia juga bagi masalah pembangunan kerana kita tidak mahu terlalu ketara kesenggangan mengenai pembangunan di kawasan mewah dan kawasan paling miskin, Sabah Sarawak serta juga beberapa kawasan terpencil di Semenanjung.

“Jadi, bersama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, kita berikan tugas penyelarasan ini kepada Fadillah untuk Sabah Sarawak serta Ahmad Zahid untuk Semenanjung,” katanya.

Abang Johari sebelum ini dilaporkan merayu kepada Kerajaan Persekutuan supaya mempermudahkan rundingan untuk mengembalikan hak Sarawak di dalam MA63 yang sudah terhakis.

Beliau berkata, sebagai ketua kerajaan Sarawak, beliau mengharapkan rundingan terhadap beberapa perkara itu mencapai keputusan positif demi kebaikan bersama. – Malaysiapost

Komen