BN, Umno akan jadi mangsa politik dendam jika tak sertai Kerajaan Perpaduan – Nur Jazlan

BN, Umno akan jadi mangsa politik dendam jika tak sertai Kerajaan Perpaduan – Nur Jazlan

PEMIMPIN Barisan Nasional (BN) dan Umno didakwa akan terus menjadi mangsa politik dendam politik lawan sekiranya tidak bersetuju menyertai Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Pengerusi Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata Umno sepatutnya berterima kasih kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana banyak berkorban dan menyelamatkan parti daripada hancur.

“Jika tidak kerana keputusan Ahmad Zahid untuk bersetuju dengan cadangan Yang di-Pertuan Agong menubuhkan Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH), mungkin Umno dan BN akan terus menjadi mangsa dendam politik pihak lawan terutamanya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Mungkin ramai lagi orang Umno akan jadi mangsa pendakwaan politik seperti yang dihadapi oleh Ahmad Zahid sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nur Jazlan yang juga Ketua Umno Bahagian Pulai, beliau tidak kisah jika ada yang melabelnya sebagai ‘budak Ahmad Zahid’.

“Tak kurang juga ada orang cakap saya bodoh kerana masih ikut Ahmad Zahid. Tapi, satu benda yang saya ingat jasa besar beliau sentiasa bersama saya ketika susah dan senang.

“Malah, beliau jugalah yang menyelamatkan Umno daripada dikuburkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Jika bukan kerana Ahmad Zahid tamakkan kuasa dan hanya fikir kepentingan diri, tahun 2018 mungkin menjadi sejarah tamatnya riwayat Umno,” katanya.

Menurutnya, Ahmad Zahid berpendirian tegas dan hidup berpegang kepada prinsip perjuangan biarpun diberikan pelbagai tawaran oleh Dr Mahathir supaya membubarkan Umno selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Beliau sayangkan Umno lebih dari dirinya, dan padahnya, Ahmad Zahid jadi mangsa pendakwaan terpilih kerana tolak kehendak Dr Mahathir,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Jazlan mendakwa Kerajaan Perpaduan ini tidak diperlukan sekiranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akur untuk membubarkan Parlimen selepas Pilihan Raya Negeri Johor.

“Kalau beliau sebagai Perdana Menteri buat begitu mungkin BN akan menang cukup kerusi untuk bentuk kerajaan dengan jumlah kerusi yang terbesar dalam Parlimen. Mungkinkah Muhyiddin mempengaruhi keputusan tidak bubar itu?” katanya.

Menurutnya, Umno dan PH boleh mula untuk membina rasa percaya dan hormat antara satu sama lain agar satu jajaran politik perpaduan antara Umno dan PH dapat diusahakan menjelang PRU16.

“Tapi PKR dan DAP kena hentikan amalan berpuluh tahun mengata semua orang Umno korup dan makan rasuah. Macam lah mereka pun tak ada pemimpin bermasalah yang sama,” katanya. – Malaysiapost

Komen