DAP minta maaf fitnah Rahim Thamby Chik

DAP minta maaf fitnah Rahim Thamby Chik

DAP memohon maaf kepada Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik kerana memfitnahnya dengan mengaitkan bekas Ketua Menteri Melaka mempunyai pelbagai skandal, empat tahun lalu.

Menurut Utusan Malaysia, permohonan maaf tersebut dibacakan oleh Naib Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong yang juga defendan pertama dalam saman tersebut, hari ini.

Abdul Rahim hadir di mahkamah hari ini.

Permohonan maaf yang dibacakan hari ini merupakan sebahagian daripada perjanjian penyelesaian dalam kes saman Abdul Rahim terhadap Ahli Parlimen Kota Melaka dan parti itu.

Ia juga perlu disiarkan di beberapa akhbar tempatan serta laman sosial Facebook defendan dalam tempoh 14 hari dari tarikh hari ini.

Hakim Pesuruhjaya Kehakiman Dr Mohamad Johan Lee @ John Lee Kien How yang merekodkan perjanjian persetujuan turut mengarahkan kesemua defendan untuk membayar RM180,000 kepada Abdul Rahim.

Berdasarkan perjanjian penyelesaian itu, defendan-defendan juga bersetuju untuk menarik balik dan memadamkan artikel-artikel fitnah tersebut.

Artikel-artikel fitnah yang disiarkan di laman sesawang DAP ialah “Rahim Thamby Chik is not ‘Bapa Pembangunan Melaka’ but is ‘Bapa Segala Skandal Melaka’, and “Rahim Thamby Chik Bukan Bapa Pembangunan Melaka tetapi Bapa Segala Skandal Melaka”.

Pada 17 September 2020, Abdul Rahim memfailkan saman fitnah tersebut dengan menamakan Poay Tiong yang juga merupakan Penolong Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP; bekas Pengerusi Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai, Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo dan bekas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga keempat.

Defendan kedua hingga keempat disaman sebagai pemegang jawatan dalam parti yang merupakan pemilik dan penerbit laman sesawang DAP iaitu https://dapmalaysia.org. – Malaysiapost

Komen