Fitnah promosi LGBT, Anwar saman Pesuruhjaya PAS Perak

Fitnah promosi LGBT, Anwar saman Pesuruhjaya PAS Perak

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman fitnah terhadap Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berhubung dakwaan beliau akan mempromosikan agenda LGBT, membenarkan perkahwinan sejenis, dan menyokong agenda komunis.

Saman difailkan di Mahkamah Tinggi Taiping, yang memperintahkan supaya Razman hadir di mahkamah. Beliau diberi tempoh 14 hari untuk berbuat demikian, lapor FMT, hari ini.

Anwar yang merupakan Presiden PKR menuntut ganti rugi dan memohon injunksi bagi menghalang Razman mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah lagi terhadapnya.

Saman itu turut menuntut permohonan maaf Razman secara terbuka selain ganti rugi bernilai RM5 juta dan jaminan bertulis bahawa dakwaan berkenaan tidak akan diulangi.

Peguam Anwar, SN Nair berkata, sebelum ini Razman membayangkan Anwar telah menyalahgunakan kuasanya sebagai Ahli Parlimen, penipu, pengkhianat, hipokrit dan bukan seorang Muslim yang baik dalam ceramahnya dan media sosial.

Hantaran Razman di Facebook itu telah menarik lebih 43,500 tontonan, 1,000 komen, 3,100 reaksi dan 256 perkongsian pada masa surat tuntutan itu dihantar, kata peguam berkenaan. -Malaysiapost

Komen