Hak peribadi masing-masing nak pertikai saya lantik Zahid – PM

Hak peribadi masing-masing nak pertikai saya lantik Zahid – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kritikan pihak tertentu berhubung keputusannya melantik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalannya adalah hak peribadi masing-masing.

Perdana Menteri mengakui tidak mempunyai masalah jika mana-mana pihak mempertikai pelantikan Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri meskipun Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sedang menjalani perbicaraan kes rasuah di mahkamah.

Anwar menjelaskan, pemilihan Ahmad Zahid bagi jawatan itu dimuktamadkan setelah mengambil kira beberapa faktor termasuk kapasiti beliau sebagai Presiden Umno merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN).

“Dalam keadaan Kerajaan Perpaduan ini saya perlu mengambil kira semua faktor ini (Ahmad Zahid sebagai Presiden Umno dan Pengerusi BN). Dia didakwa (tetapi) belum ada hukuman dan proses ini kita harus hormati.

“Namun, yang saya musykil dan ini bukan saya suarakan sekarang tetapi secara konsisten sejak beberapa tahun lalu, orang yang menjerit soal rasuah itu dia harus bersih.

“Dia tidak boleh jerit rasuah tetapi ambil projek (bernilai) ratusan juta ringgit, tak boleh,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan di Putrajaya, hari ini. – Malaysiapost

Komen