Loke mulakan tugas di MOT, ‘jejak kasih’ bersama pemandu lama

Loke mulakan tugas di MOT, ‘jejak kasih’ bersama pemandu lama

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke yang memulakan tugas di Kementerian Pengangkutan pagi ini, gembira bersua semula dengan bekas pemandunya ketika mengetuai kementerian itu kali pertama pada 2018 dan 2019.

Loke pernah berkongsi kerinduan terhadap pemandunya di Kementerian Pengangkutan dikenali sebagai Hazril yang menemaninya setiap hari ketika itu.

“Saya gembira dapat bekerja semula dengan pilot saya, Sdr Hazril!

Saya pernah menceritakan kisah saya dengan Hazril semasa saya meninggalkan MOT pada Mac 2020,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Pada Mac 2020, Loke pernah menulis mengenai Hazrul yang disifatkan sebagai orang yang beliau paling rindu di Kementerian Pengangkutan.

“Beliau (Hazril) ialah pemandu saya sejak hari pertama saya menjejak kaki di MOT. Orangnya pendiam tetapi amat berdedikasi dalam kerjanya.

“Saya bersama dengan dia hampir setiap hari, Isnin sampai Ahad. Kadang-kala program saya sampai lewat malam tetapi keesokan harinya dia tetap sampai di rumah saya pada awal pagi,” tulis Loke.

Loke adalah Menteri Pengangkutan selama 22 bulan ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018.

Dalam pada itu Loke mengingatkan pengikutnya di Facebook agar sentiasa memakai tali pinggang keledar tak kira di tempat duduk depan mahupun di belakang ketika berada dalam kenderaan.

“Pandu cermat, pasti selamat! Berhati-hati di jalan raya ya …..Selamat bertugas kepada semua,” katanya. – Malaysiapost

Komen