Menteri Kesihatan wanita pertama mulakan tugas

Menteri Kesihatan wanita pertama mulakan tugas

WANITA pertama yang dilantik sebagai Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa terbuka menerima pandangan atau cadangan daripada menteri terdahulu berkaitan kementerian itu.

Malah, Ahli Parlimen Sekijang itu bersedia mendapatkan bantuan berkaitan dengan dasar yang pernah diusahakan sebelum ini.

“Sebagai menteri baharu, saya akan dapatkan taklimat daripada pihak kementerian sendiri serta melihat kembali apakah dasar yang mungkin boleh kita gunakan atau perlu diperbaiki mahupun ditolak. Itu kita tidak pasti.

“Itu biasa dalam mana mana kementerian baharu, namun akhirnya apa yang diinginkan adalah melakukan yang terbaik kerana sektor kesihatan adalah keperluan asas kepada kita,” katanya selepas mengimbas kad perakam waktu bagi memulakan tugas rasminya di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Dalam pada itu, Dr Zaliha memaklumkan beliau sangat gembira dilantik serta menjadi wanita pertama menerajui kementerian berkenaan.

“Ini satu cabaran, tetapi mengujakan dan antara fokus (dalam isu kesihatan) adalah berkaitan dengan wanita dan kanak-kanak.

“Saya juga sebelum ini adalah Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan itu banyak membantu dalam kerjaya saya sebagai menteri wanita pertama di KKM,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Dr Zaliha, 58, memperoleh 18,491 undi dan majoriti 1,734 undi bagi mengalahkan empat pesaing lain.

Sebelum memasuki bidang politik, beliau memulakan kerjayanya dalam bidang perubatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru sebagai doktor siswazah pada 1989.

Dr Zaliha kemudian menjadi doktor perubatan di Hospital Daerah Pekan pada 1990 dan Hospital Taiping pada 1991 sebelum menyertai sektor swasta sebagai doktor di Poliklinik Penawar pada 1993. – Malaysiapost

Komen