Perbelanjaan RM600 bilion tidak boleh disembunyi bawah karpet -Isham Jalil

Perbelanjaan RM600 bilion tidak boleh disembunyi bawah karpet -Isham Jalil

PENJELASAN dibuat bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad mengenai perbelanjaan RM600 bilion semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat dilihat samar-samar, serta hanya mendedahkan fakta terpilih sahaja.

Ketua Penerangan Umno Isham Jalil, berkata Marzuki sendiri tidak tahu dari mana datangnya angka RM600 bilion tersebut sedangkan ianya diumumkan sendiri oleh Muhyiddin yang juga Perdana Menteri pada April 2021.

“Pertama, dia kata dia tidak tahu dari mana angka RM600 bilion itu datang. Angka itu datang dari Muhyiddin sendiri ketika beliau berucap di hadapan masyarakat Sikh Malaysia pada bulan April 2021 dan berkata kerajaan sudah tidak ada duit, kerajaan sudah belanja lebih RM600 bilion untuk ‘pakej-pakej rangsangan’.

“Persoalannya, ke manakah duit RM600 bilion ini pergi dan bagaimanakah ia dibelanjakan? Disebabkan jumlah ini teramat besar, adakah perbelanjaannya itu telus dan tanpa ketirisan?” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, dalam usaha menjawab tuduhan terhadap bekas majikannya, Marzuki turut menyenaraikan beberapa perbelanjaan oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin namun jumlahnya masih berkurangan daripada angka sebenar.

“Bekas ketua setiausaha Muhyiddin itu berkata, RM447 bilion adalah dalam bentuk non-fiskal, iaitu bukan perbelanjaan kerajaan dan dia menyenaraikan perbelanjaan kerajaan iaitu pengeluaran KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), RM145 bilion; duit pengurangan bayaran KWSP, RM10 bilion dan moratorium pinjaman bank, RM180 bilion. Jumlah tersebut adalah RM335 bilion. Oleh itu, mana pergi lagi RM265 bilion?

“Dia kata lagi ada perbelanjaan RM83 bilion yang kononnya disalurkan terus kepada rakyat termasuk RM18 bilion Bantuan Prihatin Nasional, Bantuan Prihatin Rakyat dan Subsidi Upah. Namun yang lain dia tidak senaraikan. Tolak jumlah ini ada lagi RM182 bilion yang dia tidak cakap pergi ke mana,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana wang-wang tersebut dibelanjakan semasa darurat kerana tidak ada proses semak-imbang semasa Parlimen ditutup.

“Contoh mudah ialah, saya dimaklumkan bahawa Bantuan Prihatin Rakyat/Nasional berbilion-bilion ringgit tersebut adalah termasuk pemberian bakul-bakul makanan.

“Persoalannya berapa orang yang dapat bakul makanan ini? Berapakah nilai makanan yang rakyat dapat dalam bakul ini berbanding harga yang dicaj kepada kerajaan? Siapa yang dapat kontrak-kontrak pembekalan bakul-bakul ini? Adakah ia dibuat secara rundingan terus kepada kroni dan berapa margin yang buat daripada berbilion-bilion dana ini?” Soalnya.

Isham berkata, selain itu persoalan juga membabitkan perolehan kerajaan, kontrak-kontrak pembekalan barangan, peralatan dan perkhidmatan lain bernilai berbilion ringgit semasa darurat oleh pentadbiran Muhyiddin yang perlu diperincikan untuk semak-imbang dan tadbir urus yang telus.

“RM600 billion ini adalah perbelanjaan yang terbesar dalam sejarah Malaysia dan ia dilakukan semasa Parlimen ditutup dan semasa darurat.

“Perbelanjaan sebesar ini tidak boleh disorok di bawah karpet dan berharap rakyat akan melupakannya,” katanya.

Menurutnya, rakyat juga tidak mahu sebahagian daripada wang berbillion itu digunakan untuk parti-parti politik tertentu berbelanja besar untuk pilihan raya yang lepas dan menang melalui merasuah dan membayar pengundi.

Terdahulu Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini turut menafikan beliau menyeleweng dana sebanyak RM600 bilion seperti didakwa oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) dengan menegaskan dana berkenaan digunakan bagi membantu rakyat ketika zaman susah. – Malaysiapost

Komen