PM pengerusikan mesyuarat khas Jemaah Menteri

PM pengerusikan mesyuarat khas Jemaah Menteri

DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet pertama beliau sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10, 24 November lalu.

Mesyuarat khas dijadual bermula pada jam 10 pagi itu dihadiri semua 27 menteri Kabinet kerajaan perpaduan pimpinannya di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Astro Awani melaporkan, Perdana Menteri tiba ke pejabatnya pada jam 8.06 pagi.

Turut dilihat memasuki Bangunan Perdana Putra ialah dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Minggu lalu ketika berucap pada majlis kenduri rakyat di Tambun, Perdana Menteri berkata mesyuarat khas itu akan melibatkan penetapan peraturan baharu.

Antaranya berkaitan cara mengurus kementerian, cara mendampingi dan bekerjasama dengan penjawat awam, penetapan cara untuk ahli Jemaah Menteri membuat pengumuman berkaitan dasar, serta cara berbelanja agar tidak melebihi kadar sepatutnya.

Selain itu, mesyuarat khas dijangka memberi tumpuan khusus pada isu menangani kenaikan kos sara hidup yang membebani rakyat ketika ini dan berkaitan subsidi. – Malaysiapost

Komen