Politik ini bengkang bengkok rupanya?, Hassan tulis puisi, luah rasa terhadap PKR

Politik ini bengkang bengkok rupanya?, Hassan tulis puisi, luah rasa terhadap PKR

AHLI Parlimen Pasir Gudang dari PKR, Hassan Abdul Karim hari ini meluahkan perasaan dalam bentuk puisi, dipercayai ditujukan kepada parti itu dan Pakatan Harapan (PH).

Menerusi bait-bait puisi yang dimuatnaik di Facebooknya, Hassan seakan menyatakan PKR dan PH menggadai prinsip dan perjuangan asal parti demi kuasa.

Dalam puisi bertajuk ‘Ku Simpan Risalah Reformasi Di Dalam Peti’ yang mempunyai 16 rangkap itu, Hassan meluahkan kekecewaan dengan perkembangan politik semasa, dipercayai merujuk kepada PKR dan PH yang membentuk kerajaan dengan Barisan Nasional (BN).

Berikut adalah bait-bait puisi nukilan Hassan:

Semalam aku masih terdengar-dengar
Kau berkata
Kita tidak akan menggadai prinsip demi kuasa

Maka, aku pun percaya
Lalu aku kumandangkan suara keyakinanku
Ke setiap penjuru tanahair tercinta ini
Ke bukit ke gunung, ke lembah, ke lurah

Ke tanah datar aku berbicara
Bahawa hidup ini hanya sekali
Maka marilah kita rakyat marhaen,
warga bawahan rakyat jelata,
Demi keadilan kita bersama,

aku seru
Kita bawa perubahan hakiki
yang kita panggil reformasi

Tetapi hari ini aku dikejutkan
Dengan istilah-istilah asing sama sekali
Aku mendengar orang berkata
tentang Machiavellian dan realpolitik

Lalu tersentaklah aku dari mimpi ngeri
Justeru, aku merayu kepada sahabatku,
Berkata luruslah di luar dan di dalam hati

Apakah benar?
Yang lurus itu dakwah,
Politik ini bengkang bengkok rupanya?

Naif sungguh aku ini
Lurus bendul selama ini

Setelah terbangun dari mimpi
Aku ambil peti kayu di tepi katil tidurku
Lalu aku lipat dan kusimpan
Segala risalah dan teks ucapanku
Yang menyeru reformasi, reformasi,
Hampir suku abad, selama ini

Komen