Salahuddin mula tugas di KPDNKSH

Salahuddin mula tugas di KPDNKSH

AHLI Parlimen Pulai Datuk Seri Salahuddin Ayub memulakan tugasnya sebagai menteri secara rasmi di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH), hari ini.

Beliau berharap, warga kementerian yang dahulunya dikenali Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dapat bersama dengannya memberi fokus menaik taraf kehidupan rakyat.

“Alhamdulillah, memulakan tugas secara rasmi di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) hari ini.

“Terima kasih buat seluruh warga KPDNKSH kerana mengalu-alukan kehadiran saya dan Kerajaan Perpaduan ini.

“Semoga kita dapat bersama-sama fokus menaiktaraf hidup rakyat dengan pelbagai polisi serta gerak kerja yang inklusif dan lestari,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Salahuddin, 61, yang juga Timbalan Presiden Amanah dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, sebelum ini pernah memegang jawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Beliau memenangi kerusi Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu dengan majoriti 20,989 undi. – Malaysiapost

Komen