Siti Bainun masuk wad, permohonan tangguh bicara ditolak

Siti Bainun masuk wad, permohonan tangguh bicara ditolak

PENGASAS Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang sepatutnya membela diri hari ini atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan dikenali Bella, dimasukkan ke hospital minggu lalu kerana menghidap pneumonia.

Siti Bainun dijadualkan memberi keterangan bela diri di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mulai hari ini sehingga 9 Disember ini.

Menurut Utusan Malaysia, peguam Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor ketika memohon penangguhan perbicaraan memaklumkan, Siti Bainun, dimasukkan ke wad sejak 28 November lalu kerana menghidap pneumonia.

Hakim Izralizam Sanusi bagaimanapun memohon penjelasan keadaan kesihatan Siti Bainun kerana surat yang dikemukakan kepada mahkamah menyatakan tertuduh sepatutnya menjalani pembedahan Sabtu lalu.

Menurut Nur’Aminahtul, pembedahan endoskopik pada 3 Disember belum dapat dilaksanakan kerana anak guamnya masih di bawah pengaruh antibiotik manakala pembedahan hempedu hanya boleh dilakukan selepas lima hari pembedahan pertama selesai.

Pada prosiding itu, pasukan pembelaan turut memohon penangguhan atas alasan pihaknya telah memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi pada 25 November bagi mengkaji kedua-dua pertuduhan terhadap Siti Bainun.

Peguam bela memohon perbicaraan ditangguhkan sehingga permohonan semakan didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Beliau berhujah, permohonan itu adalah berkaitan pertuduhan dan sebarang dapatan oleh Mahkamah Tinggi akan memberi implikasi kepada keseluruhan perbicaraan.

“Dapatan Mahkamah Tinggi akan memberi implikasi sama ada perbicaraan diteruskan atau sebaliknya atau sama ada terdapat perubahan pada pertuduhan atau apa-apa arahan yang sesuai,” katanya.

Nur’Aminahtul turut memohon pertimbangan penangguhan bagi membolehkan pihaknya menyediakan pembelaan termasuk penyediaan saksi-saksi luar negara.

Menurutnya, salah seorang saksi melibatkan pakar dari London, manakala salah seorang saksi lagi sedang meneliti dokumen untuk penyediaan pernyataan saksi.

“Siti Bainun juga perlu menyediakan pernyataan saksinya dan ia tidak dapat dilakukan kerana anak guam dimasukkan ke wad pada 28 November lalu.

“Oleh itu kami memohon penangguhan atas tiga isu iaitu kesihatan tertuduh, proses temu bual saksi-saksi dan penyediaan pernyataan saksi-saksi pakar,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad membantah permohonan penangguhan atas alasan ia bersifat remeh, mengaibkan, menyusahkan dan bertujuan melengah-lengahkan perbicaraan kes.

Permohonan penangguhan itu bagaimanapun ditolak oleh mahkamah.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara Februari dan Jun 2021 di Kondo Irama Wangsa, Wangsa Maju di sini. – Malaysiapost

Komen