Tarik diri bertanding, Sivaraj dipertimbang peranan dalam kerajaan – Saifuddin Nasution

Tarik diri bertanding, Sivaraj dipertimbang peranan dalam kerajaan – Saifuddin Nasution

CALON Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Padang Serai, Datuk C Sivaraj akan dipertimbang jawatan bersesuaian dalam Kerajaan Perpaduan susulan memberi laluan kepada calon Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Sivaraj bersetuju memberi laluan dan menyokong tanpa syarat kepada Dr Mohamad Sofee Razak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Rabu ini.

“Penarikan diri Sivaraj daripada bertanding dalam PRU-15 kerusi Padang Serai dibuat tanpa syarat, tetapi saya yakin beliau layak mendapat tempat.

“Dalam sebuah kerajaan baharu seperti ini tentu sahaja tokoh muda sebegini akan ada tempat selayaknya yang akan kita pertimbangkan,” katanya lapor Bernama.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri ceramah mega PH di Kulim, malam tadi, yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Sivaraj dan Dr Mohamad Sofee.

Mengulas mengenai penarikan diri Sivaraj daripada pilihan raya itu, Saifuddin Nasution berkata, ia dibuat selepas perbincangan PH dengan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, antara asas yang dikemukakan PH untuk penarikan diri calon BN itu adalah keputusan PH sebelum ini yang bersetuju memberi laluan kepada calon BN di pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang.

“Jadi dalam semangat kerajaan gabungan yang ada dalam kedua-dua blok ini di Tioman PH tarik diri, manakala di Padang Serai ini Sivaraj tarik diri.

“Saya tegaskan berulang kali tanpa syarat apa-apa, seperti mana penarikan di Tioman dibuat tanpa syarat,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengumumkan bahawa Sivaraj memberi laluan kepada calon PH untuk PRU-15 Padang Serai pada 7 Disember ini.

Mengulas mengenai tindakan Anwar melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan, Saifuddin Nasution berkata, nama-nama dicadang dan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dibuat mengikut proses serta mengambil kira semua perkara.

“Satu keputusan sudah tentu mengundang pro dan kontra…kita yakin dengan pengalamannya dia (Anwar) mampu untuk memimpin kementerian yang penting ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen