Anwar nafi mahu robohkan empayar Syed Mokhtar

Anwar nafi mahu robohkan empayar Syed Mokhtar

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan arahan yang dikeluarkan kepada syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) untuk membayar kepada pesawah miskin bukan untuk merobohkan empayar Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perbincangan telah dibuat bersama tokoh konglomerat itu sebelum arahan dikeluarkan dan rundingan berhubung perkara itu akan dilaksanakan esok.

“Saya tidak ambil kelulusan tanpa berunding, saya kenal dia (Syed Mokhtar), dan saya tahu syarikat besar, bukan maksud saya nak robohkan empayar dia.

“Saya tak sempat jumpa pun (Syed Mokhtar), telefon sahaja, saya ucapkan terima kasih kepada dia, saya kata untuk menjamin masa depan pesawah miskin, saya ambil langkah untuk runding.

“Saya tak faham kenapa ia jadi masalah, berpuluh tahun sudah isu Bernas ini tetapi ini kali pertama saya kata, cukuplah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas memulakan tugas di Kementerian Kewangan, hari ini.

Anwar berkata, Syed Mokhtar bersetuju dengan untuk memberikan keuntungan sebanyak RM10 juta pada bulan ini dan RM50 juta pada tahun depan.

“Bulan Disember RM10 juta, tahun depan RM50 juta dan akan berunding semula dengan Kementerian Kewangan bagaimana Bernas boleh bagi jaminan keselesanan dan keadilan kepada pesawah padi yang miskin.

“Apa yang jadi masalah dalam negara kita, apa yang nak dipolitikkan, saya ambil keputusan bukan mudah kerana berdepan dengan konglomerat yang berbilion, ini semua syarikat paling kaya dalam negara kita tapi saya ambil keputusan dasar mengapa tidak boleh kurangkan,” katanya.

Jelas Anwar, perkara tersebut akan dimuktamadkan dalam satu rundingan yang akan dibuat esok oleh kedua-dua pihak.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kritikan pelbagai pihak selepas Bernas diarahkan untuk membayar RM10 juta bulan ini dan RM50 juta tahun hadapan kepada pesawah miskin. – Malaysiapost

Komen