Anwar perlu dedah parti mana dalam PN terima dana judi – Ahmad Fadhli

Anwar perlu dedah parti mana dalam PN terima dana judi – Ahmad Fadhli

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa supaya mendedahkan parti mana dalam Perikatan Nasional (PN) yang menerima dana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) daripada syarikat perjudian sebagaimana didakwa.

Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari berkata pihaknya mahu kerajaan menjalankan siasatan dan terus mengemukakan bukti untuk pendakwaan di mahkamah.

“Hal ini kerana kamu (kerajaan) ada semua agensi yang boleh melaksanakan forensik audit. Tapi, kalau tak ada, jangan buat fitnah dan persepsi.

“Ini satu pemikiran ‘luar biasa’ di mana seorang Perdana Menteri boleh membuat tuduhan seperti itu. Tak munasabah langsung, Kerajaan Kelantan, Terengganu dan Kedah sudah tutup premis judi termasuklah Perlis selepas ini,” katanya.

Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda PAS itu berkata demikian dalam siaran langsung di Facebooknya, hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, kemungkinan pihak yang membuat tuduhan itu sudah hilang akal.

“Bagi kawan-kawan penyokong Barisan Nasional (BN) saya mohon maaf banyak-banyak. Tetapi saya rasa bahawa perkataan seperti ini adalah satu pandangan atau kenyataan daya intelek tuan-tuan sebagai penyokong PH dan BN.

“Sepatutnya selepas mesyuarat pertama jemaah Kabinet, sidang media pertama sepatutnya penuh bermaklumat dan ditunggu-tunggu oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata, sidang media Perdana Menteri semalam sepatutnya menjelaskan perancangan kerajaan untuk berdepan dengan kemelut ekonomi pada tahun hadapan.

Katanya, namun Perdana Menteri lebih berminat untuk mengumumkan perkara lain berbanding perancangan kerajaan.

Terdahulu, Anwar dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet semalam, membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian.

Justeru, beliau telah mengarah Kementerian Kewangan (MOF) menyemak bagi mengesahkan sama ada dana pilihan raya untuk gabungan tersebut datang dari syarikat perjudian. – Malaysiapost

Komen