Bukan semua projek rundingan terus tidak teratur – Tuan Ibrahim

Bukan semua projek rundingan terus tidak teratur – Tuan Ibrahim

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya menganggap semua projek melalui rundingan terus sebagai tidak teratur terutama membabitkan projek perlu disegerakan serta kecemasan.

Bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ia juga tidak bermakna wujud pihak yang mengambil kesempatan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PAS turut mempertahankan bahawa rundingan terus projek tebatan banjir yang perlu disegerakan, bukanlah satu kesalahan perolehan.

“Anwar tahu banyak projek kecemasan perlu disegerakan bagi mengurangkan bencana lebih besar dan kerugian lebih banyak.

“Ia mestilah terpaksa dilakukan melalui kaedah runding terus atau tender terpilih khususnya yang melibatkan bencana seperti banjir, empangan pecah, tanah runtuh dan lain.

“Namun, sekali lagi saya tegaskan ia mesti mematuhi prosedur kewangan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim mengulas arahan Perdana Menteri supaya beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion tidak diteruskan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dipetik berkata, ia membabitkan kelulusan secara rundingan terus yang diluluskan sebelum ini.

Anwar turut meminta pegawai kementerian itu meneliti semula kelulusan yang diberikan bagi memastikan ia mematuhi prinsip ketelusan dan peraturan yang ditetapkan. – Malaysiapost

Komen