Calon PN terima RM50,000, bukan sumber syarikat judi – Hamzah

Calon PN terima RM50,000, bukan sumber syarikat judi – Hamzah

SETIAP calon Perikatan Nasional (PN) menerima RM50,000 seorang pada pilihan raya umum lalu, namun ia bukan daripada syarikat perjudian.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan jika benar gabungan itu mempunya sumber kewangan yang banyak, pastinya sudah menang besar, bukan hanya 73 kerusi Parlimen.

“Saya nak maklumkan betul kita bagi duit, saya ni Setiausaha Agung PN dan ada ramai calon (PN) yang ada depan saya, kita bagi RM50,000 (sahaja) seorang calon.

“Kalaulah saya ada duit daripada kaki judi saya ingat bukan hanya menang 73 kerusi (Parlimen), hak Barisan Nasional (BN) yang ada 30 kerusi itu pun kita sapu habis.

“Tapi sebab tak cukup duit, modal kurang. Sebab itulah kita tak dapat menang banyak tu saja,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian pada Ceramah Rakyat di hadapan terminal bas Bandar Baru Rompin, semalam.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang dari syarikat perjudian.

Hamzah menjelaskan kuasa untuk menentukan dan meluluskan jumlah cabutan adalah di bawah bidang kuasa Menteri Kewangan dan tidak perlu melalui Kabinet.

“Dia (Anwar) dok kata dalam kerajaan itu (ada) 22 kali cabutan judi, siapa Menteri Kewangan? Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz. Kau tanyalah yang berhormat Tengku Zafrul,” katanya. – Malaysiapost

Komen