Dana PRU15 PN: ‘Kenapa SPR senyap?’ – Puad

Dana PRU15 PN: ‘Kenapa SPR senyap?’ – Puad

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempertikaikan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang didakwa ‘senyap’ dalam isu dana pilihan raya Perikatan Nasional (PN) dan PAS.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

“PM juga dakwa, MOF (kementerian Kewangan) mengesan berlaku ‘pelanggaran’ tata kelola pemberian kontrak berjumlah RM600 bilion tanpa tender.

“Patutlah PAS nampak mewah di PRU15 Mesti dapat duit dari Bersatu. Tular video, PAS bagi duit secara terbuka.

“Kenapa SPR senyap? Apakah SPR tidak ada kuasa. Mana mungkin SPR tidak nampak. Terang terang bagi duit bawah khemah,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Mohd Puad turut mendakwa kemungkinan keadaan itu berlaku kerana jawatan Pengerusi SPR ketika ini adalah lantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Mungkin Pengerusi SPR Muhyiddin yang lantik. Kalau betul, patutlah dia memihak kepada PN. Budi wajib balas.

“Semoga PAS konsisten bagi jawapan ikut syariah. ‘La dharar wa la dhirar’. Kemudaratan yang berlaku wajib dihilangkan. Jangan fikir manfaat PAS sahaja. Utamakan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Anwar dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet semalam, membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian.

Justeru, beliau telah mengarah Kementerian Kewangan (MOF) menyemak bagi mengesahkan sama ada dana pilihan raya untuk gabungan tersebut datang dari syarikat perjudian. – Malaysiapost

Komen