Isu dana RM600 bilion: Saifuddin jumpa PM esok

Isu dana RM600 bilion: Saifuddin jumpa PM esok

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri bagi mendapatkan gambaran jelas berhubung dakwaan penyelewengan dana bernilai hampir RM600 bilion oleh kerajaan terdahulu.

Beliau berkata, pertemuan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim petang esok, antara lain bertujuan menentukan agensi penguatkuasaan yang akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan terbabit.

Beliau juga akan mendapatkan pandangan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani bagi memperincikan bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membantu siasatan dakwaan terbabit.

“Saya dan Acryl Sani belum sempat berbincang secara spesifik mengenai dakwaan ini.

“Sudah tentu saya akan dapatkan pandangan pihak badan siasatan berkaitan, kalau berkaitan PDRM, ia bidang kuasa kita. Kalau berkaitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tentu mereka akan siasat.

“Saya akan dapatkan pandangan Acryl Sani mengenai tindakan lanjut berhubung perkara ini dalam masa terdekat,” katanya memetik Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan taklimat bersama agensi seliaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Semalam, Anwar dilapor berkata, pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan terdapat pelanggaran serius prosedur berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan diterajui bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau juga dilapor sudah menyerahkan perkara itu untuk disiasat jabatan berkaitan bagaimanapun memaklumkan belum ada perbincangan di peringkat Kabinet sama ada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) akan ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu.

Sementara itu, Saifuddin Nasution menegaskan, PDRM diberi kebebasan menjalankan siasatan mengenai dakwaan politik wang seperti dinyatakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, baru-baru ini.

Beliau berkata, ia selari pendirian Anwar yang mahu jemaah menteri tidak mengeluarkan sebarang arahan supaya pihak penguat kuasa menyiasat mana-mana pihak yang mengkritik kerajaan.

“Polis diberikan kebebasan sepenuhnya untuk menyiasat perkara ini jika terdapat asas berdasarkan merit atau kandungan laporan berhubung dakwaan terbabit.

“Saya percaya kepada tahap profesionalisme polis dalam menentukan keputusan mengenai dakwaan terbabit, selain mereka diberi ruang dan kebebasan untuk memuktamadkan hala tuju perkara ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen