Jangan fitnah, tutup pusat judi kalau berani – Khairil Nizam

Jangan fitnah, tutup pusat judi kalau berani – Khairil Nizam

PAS menyambut baik usaha Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menurunkan jumlah cabutan judi.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin berkata tidak wajar pengumuman itu ditambah dengan fitnah terhadap Perikatan Nasional (PN).

“Adakah penyokong Pakatan Harapan (PH) sudah habis modal untuk burukkan PAS sehingga sanggup kitar semula fitnah kata PAS sokong peningkatan cabutan judi?.

“Dalam PAS, kami diajar berpolitik secara matang dan sejahtera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sejak dulu PAS membantah langkah kerajaan menambah kekerapan cabutan khas judi.

Khairil Nizam berkata, tidak wajar Perdana Menteri memberi bayangan kononnya PN menggunakan dana daripada syarikat judi.

Sebaliknya, beliau meminta supaya Anwar mengemukakan bukti terhadap dakwaan tersebut.

“Sekarang Perdana Menteri tambah pula sentimen minta orang membayangkan PN menggunakan dana judi untuk bantu kempen pilihan raya umum (PRU).

“Buat apa bayang-bayang. Kalau ada bukti, kemukakan. Kasihan, sudah jadi kerajaan pun masih ada mentaliti pembangkang.

“Semoga Allah beri hidayah kepada pemfitnah untuk kembali ke jalan yang benar,” katanya.

Beliau turut mencabar Anwar supaya menutup terus syarikat judi seperti dilaksanakan kerajaan pimpinan PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Ada berani?,” katanya.

Menurutnya, cukai judi menunjukkan penurunan mendadak sepanjang PN memerintah kerana banyak pusat judi ditutup di negeri ditadbir PAS.

Semalam Anwar membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

Beliau turut mengumumkan penurunan jumlah cabutan undi dari 22 kali kepada lapan kali setahun. – Malaysiapost

Komen