Kerajaan import bekalan telur tampung keperluan pasaran tempatan – Mat Sabu

Kerajaan import bekalan telur tampung keperluan pasaran tempatan – Mat Sabu

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan mengimport bekalan telur daripada beberapa negara sumber luar, dalam usaha menampung keperluan pasaran tempatan dengan segera.

Menterinya, Mohamad Sabu, berkata inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar bukan untuk menekan pengusaha industri telur ayam tempatan, sebaliknya memastikan bekalan dalam negara tidak terputus.

“Keperluan membawa masuk telur ayam dari sumber luar juga akan dikaji semula setelah bekalan telur ayam kembali stabil.

“Saya juga telah meminta Ketua Setiausaha Kementerian untuk melihat impak mengimport telur ayam dari sumber luar kepada industri telur ayam tempatan sedia ada,” katanya hari ini.

Mohamad berkata, pihaknya menyedari keperluan bekalan telur ayam merupakan makanan seharian berprotein popular dalam kalangan rakyat dengan kadar penggunaan purata telur ayam sebanyak 968 juta biji sebulan.

Katanya, sehubungan itu kementeriannya akan memastikan telur ayam yang diterima selamat daripada penyakit dan menepati piawaian yang ditetapkan.

Ujar beliau, segala protokol dan tatacara yang ditetapkan kerajaan perlu dipatuhi tanpa kompromi.

“Kementerian sentiasa berusaha dengan pelbagai pendekatan bagi menjamin bekalan telur ayam negara kembali stabil dengan harga yang kompetitif.

“Kementerian yakin isu kekurangan bekalan telur ayam dapat diselesaikan dalam masa terdekat dengan kerjasama pelbagai pihak,” katanya. – Malaysiapost

Komen