Kerajaan jamin teruskan projek ECRL

Kerajaan jamin teruskan projek ECRL

KERAJAAN memberi jaminan meneruskan projek mega berskala besar termasuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kesemua projek berkenaan telah dimulakan dan tiada masalah untuk diteruskan.

“Pendekatan kerajaan ialah projek yang sedang dilaksanakan dan berjalan akan diteruskan, tidak ada masalah untuk kita teruskan.

“Saya tahu sebagai Menteri Pengangkutan, salah satu projek utama adalah membabitkan ECRL,” katanya selepas majlis ramah mesra bersama warga Kementerian Pengangkutan, hari ini.

Menurut Loke, projek mega itu akan diteruskan dan ia tidak akan ditangguhkan lagi sama seperti yang dijanjikan ketika berkempen pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Katanya, projek itu sudah melalui banyak proses rundingan dan kajian semula termasuk perubahan laluan dan stesen.

“Kita tidak mahu sebarang bentuk penangguhan lagi ke atas projek mega ini.

“Projek itu sudah pun dimulakan dan ia berjalan dengan baik walaupun ada ketikanya kita tidak berapa setuju dalam beberapa perkara dan keputusan yang dibuat,” katanya.

Untuk rekod, projek ECRL sepanjang 665 kilometer itu dianggarkan menelan belanja sebanyak RM50.27 bilion membabitkan jajaran empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Sementara itu, Loke berkata pihaknya akan berusaha menambahbaik pengangkutan awam terutama perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) yang menjadi pilihan utama warga kota.

Menurutnya, kesesakan yang dialami pengguna LRT sudah mencapai tahap kritikal berdasarkan pemantauan dilakukannya semalam.

“Saya bercadang berjumpa mereka dalam minggu ini untuk mendengar perancangan dan taklimat berkenaan apa yang sedang dirancang dan ingin dilaksanakan,” katanya. – Malaysiapost

Komen