Loke tak akan jawab, ulas isu politik ketika berada di kementeriannya

Loke tak akan jawab, ulas isu politik ketika berada di kementeriannya

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke tidak akan menjawab sebarang soalan mengenai isu politik atau parti diwakilinya ketika berada di bangunan kementeriannya.

Setiausaha Agung DAP itu menegaskan, itu adalah pendiriannya dan mahu wartawan memahami kerana apabila berada di Kementerian Pengangkutan, fokusnya hanya terhadap isu berkaitan kementeriannya.

“Sebarang persoalan politik saya akan jawab jika berada dalam program parti sahaja dan bukan kementerian kerana itu pendirian saya.

“Bukan nak angkuh dan sombong. Bukan saya tak nak jawab soalan, kalau isu politik boleh tanya saya di luar ketika program parti. Kalau sidang media Kementerian Pengangkutan, saya hanya akan menjawab isu-isu kementerian sahaja, itu pendirian saya,” katanya.

Loke turut memohon maaf kepada petugas media yang hadir dan mengharapkan beliau menjawab soalan berkaitan politik.

Terdahulu Ahli Parlimen Seremban itu diminta mengulas kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa DAP menikmati banyak manfaat walau tidak ramai Ahli Parlimennya terpilih memegang jawatan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Loke berkata, beliau tidak mahu mengambil serius dakwaan itu kerana apa yang penting ialah fokus kepada kementeriannya.

“Biarlah pihak lain nak cakap apa itu hak dia, kita telah diberi mandat dan tanggungjawab oleh Yang di-Pertuan Agong. Jadi, tugas saya ialah fokus kepada tugas sebagai Menteri Pengangkutan,” katanya. – Malaysiapost

Komen