Muhyiddin jangan cabar, saya nak tumpu uruskan negara – PM

Muhyiddin jangan cabar, saya nak tumpu uruskan negara – PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tidak mencabar kerajaan berhubung isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan di bawah pentadbiran Pengerusi Perikatan Nasional (PN)sebelum ini.

Anwar berkata, berdasarkan maklumat sememangnya wujud beberapa proses dan prosedur yang tidak dipatuhi dalam perbelanjaan dana berkenaan yang dibuat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat sebelum ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan mendedahkan terdapat beberapa syarikat berkepentingan atau terkait dengan keluarga yang turut terbabit.

“Jadi saya ingin jelaskan bukan maksud saya, sepertimana (saya kata) saya nak tumpu perhatian mengurus negara, memacu pertumbuhan ekonomi dan memberi kebajikan kepada rakyat. Tetapi sebaik dicabar, kita terpaksa melihat.

“Sejumlah besar wang hampir RM600 bilion adalah duit dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu duit rakyat sendiri, sekarang baru diakui. Tetapi ada berpuluh bilion, lain yang diperuntukkan yang menunjukkan ada pelanggaran peraturan.

“Mereka boleh uar-uarkan bersih tidak bersih, (tetapi) tidak bersih sama sekali bila kita sebut mengenai kelulusan yang dibuat tidak ikut peraturan, begitu juga kelulusan yang dibuat semasa PKP,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pertamanya sebagai Menteri Kewangan, hari ini.

Semalam, Muhyiddin menggesa Anwar memanggil bekas menteri kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan sama ada benar wujud penyelewengan perbelanjaan bernilai RM530 bilion ketika pentadbiran PN sebelum ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, jika terbukti berlaku salah guna kuasa melibatkan dirinya berhubung dana itu, beliau sedia didakwa.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan PN tidak bersih sama sekali seperti yang dilaungkan ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), baru-baru ini.

“Mereka boleh war-warkan bersih, (tetapi) tidak bersih sama sekali,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan saman Datuk Seri Takiyuddin Hassan kepadanya, Anwar berkata, Setiausaha Agung PAS tidak perlu gopoh untuk bertindak demikian.

Anwar berkata, beliau yang kini merupakan Menteri Kewangan mempunyai fail-fail mengenai peruntukan yang dibelanjakan kerajaan PN sebelum ini.

“Nasihat Takiyuddin jangan gopoh kerana saya sekarang di Kementerian Kewangan, fail ada pada saya,” katanya. – Malaysiapost

Komen