Perjanjian Petronas, ADNOC cipta sejarah baharu Malaysia dan UAE – Ismail Sabri

Perjanjian Petronas, ADNOC cipta sejarah baharu Malaysia dan UAE – Ismail Sabri

SEJARAH baharu tercipta apabila Petronas Abu Dhabi Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Petronas, telah menandatangani perjanjian dengan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) hari ini untuk meneroka dan menilai Unconventional Onshore Block 1 meliputi kawasan konsesi seluas 2,000 kilometer persegi di wilayah Al Dhafra.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata projek itu telah dirintis oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurutnya, baginda telah memulakan perbincangan awal dengan Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

“Semasa lawatan rasmi saya ke Abu Dhabi September lalu, ADNOC telah memberi taklimat mengenai kerjasamanya dengan Petronas untuk meneroka sektor minyak dan gas serta tenaga boleh diperbaharui.

“Perkara ini juga telah dibincangkan lebih mendalam ketika pertemuan empat mata antara saya dan Yang Mulia Sheikh Mohamed. Baginda bersetuju supaya projek ini dipercepatkan.

“Alhamdulillah kerjasama ini telah dimuktamadkan. Menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana memainkan peranan penting dalam projek bersejarah ini. Tanpa hubungan erat antara baginda dan Presiden UAE, projek ini tidak akan menjadi kenyataan,” katanya menerusi kenyataan.

Ismail Sabri berkata, semasa pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia, Malaysia dan UAE bersetuju untuk meningkatkan hubungan sedia ada kedua-dua negara kepada ‘Perkongsian Strategik’.

Katanya, beliau memberi perhatian serius untuk memperkukuh hubungan dua hala kedua-dua negara dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pelaburan dan perdagangan, tenaga boleh diperbaharui, sekuriti makanan serta minyak dan gas.

“Perdagangan antara Malaysia dan UAE telah meningkat 90.4 peratus untuk lapan bulan pertama 2022 iaitu AS$6.14 bilion (RM25.60 bilion).

“Semoga hubungan erat di antara Malaysia dan UAE terus diperkukuhkan pada masa depan,” katanya. – Malaysiapost

Komen