Permuafakatan Kerajaan Perpaduan harus dipertahan, dikekalkan – Zahid

Permuafakatan Kerajaan Perpaduan harus dipertahan, dikekalkan – Zahid

PERMUAFAKATAN besar yang membentuk Kerajaan Perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) harus dipertahan dan dikekalkan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerjasama gabungan pelbagai parti politik itu harus dikekalkan untuk tempoh yang lebih lama berbanding lima tahun.

“InsyaAllah kerjasama ini bukan lima tahun, bukan 10 tahun, bukan 15 tahun, atas keikhlasan kita akan bekerjasama dalam satu pasukan sebagai ‘the grand coalition’.

“Jika penyatuan dan perpaduan ini dapat kita pertahankan dan teruskan, Insya-Allah Malaysia akan lebih gemilang,” katanya lapor Bernama.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada program Ceramah Mega Ayuh Malaysia sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai, Kedah, malam tadi.

Turut hadir Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Ketua Setiausaha PH merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

Menurut Ahmad Zahid, beliau yakin pentadbiran Kerajaan Perpaduan mampu menjadikan ekonomi negara lebih baik, sekali gus mengatasi masalah kos sara hidup rakyat.

Katanya, ia juga berupaya memberi keyakinan kepada pelabur asing untuk datang ke negara ini.

Sementara itu, beliau berkata, sekiranya usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Parlimen nanti diluluskan, maka Kerajaan Perpaduan yang didukung semua kaum menjadi kerajaan paling mantap dalam sejarah politik negara.

“Politik baharu bukan politik perkauman, bukan politik agama. Ia perlukan landskap baharu dengan semua bangsa, agama bersatu sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Ahmad Zahid turut menyeru pengundi di Padang Serai supaya memilih calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak pada bagi memastikan wakil rakyat di kawasan itu ‘sealiran’ dengan kerajaan pusat. – Malaysiapost

Komen