PM sambut baik perjanjian Petronas, ADNOC

PM sambut baik perjanjian Petronas, ADNOC

DATUK Seri Anwar Ibrahim menyambut baik perjanjian bersejarah antara Petronas dan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) untuk meneroka dan menilai Unconventional Onshore Block 1 di Abu Dhabi.

Perdana Menteri berkata, pemeteraian kerjasama itu cerminan membina hubungan antarabangsa lebih jitu serta menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai negara, tatkala dunia dalam pemulihan pasca Covid-19 dan ketidaktentuan ekonomi global.

“Saya menjunjung kasih atas peranan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menjadi tenaga pendorong utama kepada kejayaan usaha ini.

“Saya menaruh sepenuh keyakinan bahawa syarikat serta bakat tempatan mampu menerajui dan meneroka idea dan peluang untuk bersaing di peringkat global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Petronas menandatangani perjanjian bersejarah dengan ADNOC untuk meneroka dan menilai Unconventional Onshore Block 1 meliputi kawasan konsesi seluas 2,000 kilometer persegi di wilayah Al Dhafra.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik dan Menteri Industri dan Teknologi Maju UAE serta Pengarah Urusan dan CEO Kumpulan ADNOC, Dr Sultan Ahmed Al Jaber.

Ia disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan. – Malaysiapost

Komen