PN pilih Tuan Ibrahim Ketua Pembangkang DUN Pahang

PN pilih Tuan Ibrahim Ketua Pembangkang DUN Pahang

PERIKATAN Nasional (PN) Pahang memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

Selain Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS, PN Pahang juga menamakan ADUN Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus sebagai Ketua Whip.

Pengerusi PN Pahang, Saifuddin Abdullah berkata, beliau akan menulis surat berkenaan pemilihan nama Ketua Pembangkang dan Ketua Whip kepada Speaker DUN Pahang sebagai pemakluman.

“Sebagai Pengerusi PN Pahang saya akan menulis kepada Speaker, jawatan ketua pembangkang wajar diberikan fungsi dan status yang rasmi mengikut contoh yang dipraktikkan di Dewan Rakyat,” katanya pada sidang media di Rompin, hari ini.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu juga menegaskan, penamaan dan pemilihan ketua pembangkang dan Ketua Whip ini adalah persedian PN untuk menjadi pembangkang yang konstruktif di DUN Pahang.

Dalam perkembangan lain, Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar mendakwa, Barisan Nasional (BN) membuat tindakan bersifat rasuah kepada pengundi DUN Tioman menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) esok.

“BN bagi geran tanah kepada penduduk setempat di Tioman misalnya di Felda Selendang 2, Kampung Jawa Pantai sedangkan mereka menanti pemilikan tanah itu sudah lebih 40 tahun.

“Tindakan ini jelas bersifat rasuah, sedangkan Kerajaan Pahang boleh memberi geran itu sebelum-sebelum ini, tetapi memilih untuk memberinya pada musim kempen pilihan raya DUN Tioman,” katanya.

Rosli mendakwa, tindakan BN ini dibuat atas dasar tekanan kesan ‘mood’ pengundi di Tioman yang cenderung menyokong PN berdasarkan pola pengundian kerusi parlimen dalam PRU15 lalu. – Malaysiapost

Komen