Rafizi yakin Anwar berbeza daripada Najib

Rafizi yakin Anwar berbeza daripada Najib

TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim berbeza daripada Datuk Seri Najib Razak selepas mengambil alih portfolio kewangan.

Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata, Anwar tidak akan menjadi seperti Najib kerana perwatakan dan didikan yang berbeza.

“Yang kedua, saya tak rasa yang ada menteri yang yang boleh ‘sakau’ duit macam dulu. Saya tak rasa. Sebab apa ? Kerana duit sudah tidak ada.

“Yang tu yang saya bimbang dengan rambut atas kepala saya ni. Lepas ni lama-lama kena pakai kopiah tutup botak. Sebab duit sudah tidak ada.

“Tanggungjawab Menteri Kewangan dan Menteri Ekonomi macam saya menggaru kepala macam mana kita nak kembangkan ekonomi supaya kita ada cukup (wang) untuk bantu rakyat,” katanya seperti dilapor FMT.

Beliau berkata demikian pada ceramah kempen calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Padang Serai, Dr Mohamad Sofee Razak, malam tadi.

Pada masa sama, Rafizi menggesa agensi kerajaan yang mempunyai rekod buruk dapat dikaji semula dengan melantik mereka yang jujur.

Katanya, adalah penting badan kehakiman, pendakwa raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan peranan mereka berdasarkan undang-undang dan tidak mengikut arahan menteri.

Anwar yang dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 dan Menteri Kewangan mendapat banyak kritikan susulan ia bertentangan dengan pendirian PH sebelum ini.

PH mengatakan seorang Perdana Menteri tidak sepatutnya memegang jawatan Menteri Kewangan berikutan skandal 1MDB yang berlaku ketika Najib memegang kedua-dua jawatan itu.

Semalam, Rafizi memaklumkan bahawa ‘keadaan luar biasa’ yang menyebabkan Anwar mengambil alih jawatan Menteri Kewangan.

Katanya, Anwar mengambil peranan itu untuk mengelakkan konflik dalam kalangan parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan. – Malaysiapost

Komen