Rakyat mahu kerajaan bersih, bukan lantik TPM ada kes mahkamah – Muhyiddin

Rakyat mahu kerajaan bersih, bukan lantik TPM ada kes mahkamah – Muhyiddin

RAKYAT mahu sebuah kerajaan bersih dan berintegriti, bukan kerajaan yang melantik individu sedang didakwa di mahkamah kerana kes rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Susulan itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Umno sedang dicemuh di seluruh dunia.

“Saya persoalkan bagaimana sebuah kerajaan yang dicemari dengan isu-isu integriti dapat menyakinkan para pelabur luar untuk masuk ke negara ini?,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai amat penting untuk rakyat meneruskan sokongan kepada PN.

Menurutnya, ia bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang amanah, bertanggungjawab, prihatin, bersih dan stabil.

“Saya berterima kasih kepada seluruh rakyat yang memberi sokongan padu sehingga PN berjaya memenangi 73 kerusi Parlimen pada PRU15 baru-baru ini.

“Lebih membanggakan 62 peratus pengundi Melayu memilih Perikatan Nasional berbanding UMNO dan PH pada pilihan raya ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen