Saifuddin akui tersilap kongsi cerita kerjasama PH-BN

Saifuddin akui tersilap kongsi cerita kerjasama PH-BN

SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengaku tersilap menyusun kata-kata berhubung rundingan pembentukan kerajaan perpaduan melibatkan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Menteri Dalam Negeri itu berkata, kesilapan tersebut dibuat dalam susunan ayat menerusi hantaran Facebooknya sebelum ini.

Ujarnya, perkara tersebut menyebabkan timbul kekeliruan dalam mentafsir perspektif sebenar rundingan kerjasama antara dua parti yang berseteru itu.

Menjelaskan kekeliruan itu, Saifuddin berkata, rundingan pembentukan kerajaan antara kedua-dua gabungan hanya berlaku selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diperoleh.

Bagaimanapun, katanya, hubungan peribadinya dengan pemimpin utama BN sudah lama berlaku, sekali gus memudahkan rundingan kerjasama diadakan di antara kedua-dua gabungan terbabit.

“Kerjasama perbincangan selepas PRU15 apabila keputusan menyaksikan tiada blok boleh membentuk kerajaan. Namun, hubungan peribadi dengan watak utama politik ‘non PH’ (bukan PH) sudah lama berjalan dan kekeliruan berlaku di situ.

“Sesetengah media memilih (melaporkan) rundingan berlaku sebelum (PRU15). Nanti saya akan perbaiki susunan ayat dalam hantaran di media sosial dan beri perspektif lebih tepat.

“Terima kasih kerana bertanyakan dan bantu saya memberikan perspektif lebih tepat mengenai hantaran berkenaan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, Saifuddin dalam hantaran Facebook 4 Disember lalu berkata mengaku usaha membina kerjasama dengan pemimpin BN sudah lama direncanakan PH.

Hantaran tersebut mengundang pelbagai persepsi terhadap PH dan BN.

“Berbeza pandangan ramai, usaha ini bukannya bermula pada tarikh keputusan PRU15 diketahui pada 19 November lalu.

“Kita sudah lama membaca perubahan lanskap politik negara yang tidak memungkinkan sebuah parti atau gabungan membentuk kerajaan sendiri. Semua parti atau gabungan adalah potensi rakan untuk diajak berunding.

“Saya bertuah kerana pandangan jauh Datuk Seri Anwar yang ikut mendokong pendekatan ini. Pendekatan politik inklusif. Meramaikan kawan dan mengurangkan musuh.

“Saya diberi peluang dan peranan seluas-luasnya untuk membina rangkaian politik rentas parti selama aktif dalam KEADILAN,” katanya dalam hantaran itu. – Malaysiapost

Komen