Saya ada urusan rasmi di UAE, bukan tengok ‘World Cup’ di Qatar – Tengku Zafrul

Saya ada urusan rasmi di UAE, bukan tengok ‘World Cup’ di Qatar – Tengku Zafrul

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz tampil menafikan dakwaan beliau ‘ponteng’ mesyuarat pertama Kabinet semalam, kerana berada di Qatar untuk menyaksikan perlawanan Piala Dunia 2022.

Menerusi penjelasan yang dibuat dalam rakaman video di Facebooknya, Tengku Zafrul berkata beliau bukan ke Qatar sebaliknya ke Abu Dhabi atas urusan rasmi kerajaan.

“Baru sahaja angkat sumpah dah keluar berita palsu kononnya saya ponteng Mesyuarat Jemaah Menteri untuk tengok ‘World Cup’ di Qatar. Saya pergi ke Abu Dhabi bukan ke Doha, Qatar,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata setiap menteri yang mahu ke luar negara perlu mendapat kebenaran Perdana Menteri dan sekiranya tidak diluluskan mereka tidak boleh berbuat demikian.

“Sebab itu selepas angkat sumpah saya terus ke MITI untuk beritahu KSU (Ketua Setiausaha) dan pegawai kanan MITI mengenai trip ini.

“Saya ke Abu Dhabi untuk menghadiri majlis perjanjian antara syarikat Petronas Abu Dhabi Sdn Bhd dengan syarikat Emiriah Arab Bersatu (UAE) iaitu Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC).

“Majlis perjanjian itu disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bagi pihak Malaysia,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, perjanjian yang ditandatangani Petronas itu adalah bersejarah dan projek terbesar kepada Malaysia dan UAE untuk sektor minyak dan gas.

Beliau berkata, perjanjian itu melibatkan pelaburan bagi kedua-dua negara untuk tempoh 30 tahun yang diyakini akan memberikan limpahan ekonomi kepada negara.

“Perjanjian ini melibatkan kerjasama meneroka dan menilai kawasan konsesi seluas 2,000 kilometer persegi di wilayah Al Dhafra di Abu Dhabi.

“Kita semua amat bangga dengan pencapaian Petronas di peringkat antarabangsa

“Perjanjian ini akan mempelbagaikan sumber pendapatan Petroas dan pastinya mengukuhkan status mereka sebagai salah satu syarakit tenaga terkemuka di dunia,” katanya.

Malah, Tengku Zafrul menegaskan beliau akan menjelaskan mengenai perjanjian itu kepada Perdana Menteri dalam mesyuarat Kabinet esok.

Terdahulu tular di media sosial, mendakwa Tengku Zafrul tidak hadir mesyuarat pertama Kabinet Kerajaan Perpaduan pagi semalam, kerana dikatakan berada di Qatar.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul memaklumkan beliau berkesempatan singgah di pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Dubai untuk bertemu dengan pegawai yang terlibat. – Malaysiapost

Komen