‘Saya tak sangka Rafizi juga seorang penjilat Anwar’ – Wan Saiful

‘Saya tak sangka Rafizi juga seorang penjilat Anwar’ – Wan Saiful

KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan Rafizi Ramli kini bukan lagi pemimpin muda dalam PKR yang menjadi harapan kepada masa depan politik negara.

Ini kerana katanya, sebelum ini rakan-rakan dalam PKR menyangka dengan menaikkan Rafizi menjadi Timbalan Presiden parti dapat ‘memposisikan’ Ahli Parlimen Pandan itu untuk menggantikan Anwar.

Katanya, ramai berpandangan kononnya Rafizi berbeza daripada Anwar, namun persepsi berkenaan meleset apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) itu didakwa sanggup sanggup menjual diri dan menggadai perjuangan demi jawatan.

“Rafizi pernah berkata dia akan jadi orang pertama menolak sebarang rundingan dengan Umno. Selepas PRU15, dia menjadi salah seorang yang berunding dengan Umno.

“Rafizi pernah berkata dia menentang Perdana Menteri menjadi Menteri Kewangan. Bila Anwar ambil jawatan Menteri Kewangan, Rafizi terus amnesia,” katanya menerusi Facebook.

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, beliau tidak menyangka Rafizi dan Anwar rupa-rupaya mempunyai karakter yang sama iaitu sanggup membelakangkan prinsip demi kedudukan.

“Saya langsung tak menyangka bahawa Rafizi juga seorang penjilat Anwar. Rupa-rupanya Presiden dan Timbalan Presiden serupa sahaja. Demi jawatan dan kedudukan, sanggup menjual diri dan menggadai perjuangan.

“Konon-kononnya ini masa yang luar biasa dan membolehkan prinsip dilupakan. Sebenarnya ujian yang menentukan kita berprinsip atau tidak ialah ujian pada waktu yang luar biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Saiful turut menyifatkan perjuangan Pakatan Harapan (PH) adalah penipuan demi nafsu serta tiada berprinsip.

“Rafizi dan pemimpin muda dalam PKR bukan lagi harapan masa depan politik negara. Mereka hanya harapan Anwar Ibrahim sahaja. Sanggup menjilat apa sahaja demi jawatan,” katanya. – Malaysiapost

Komen