Stor sisa pukal bangunan MOF terbakar

Stor sisa pukal bangunan MOF terbakar

SEBUAH stor sisa pukal dan penyelenggaraan di aras bawah bangunan Kementerian Kewangan (MOF) di Presint 2, Putrajaya, musnah dalam kebakaran, petang tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Putrajaya, yang mengesahkan perkara tersebut memaklumkan kejadian berlaku sekitar jam 2.30 petang itu tidak membabitkan kemalangan jiwa.

Stor di aras bawah bangunan Kementerian Kewangan (MOF) musnah dalam kebakaran. Foto: IHSAN media sosial

Katanya, kejadian itu disedari seorang kakitangan MOF yang berada di ruang letak kereta aras berkenaan selepas melihat api di stor berkenaan.

“Kebakaran turut dikesan oleh Sistem Pepasangan Keselamatan Kebakaran (PKK) bangunan berkenaan yang menyebabkan penggera amaran kebakaran berbunyi.

“Kami difahamkan, pasukan tindakan kecemasan (ERT) bangunan berjaya mengawal kebakaran dari merebak ke stor bersebelahan menggunakan lapan unit alat pemadam api jenis debu kering.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian, pasukan kami mengambil alih dan meneruskan aktiviti pemadaman sehingga api padam sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, kebakaran turut menyebabkan ruangan tersebut dipenuhi asap tebal dan pihaknya terpaksa menggunakan ‘extractor fan’ bagi mengeluarkan asap.

Jelasnya lagi, pasukan sama turut melaksanakan tindakan perlu bagi memastikan tiada lagi sumber api yang mungkin wujud di tempat kejadian sebelum menamatkan operasi.

Stor di aras bawah bangunan Kementerian Kewangan (MOF) musnah dalam kebakaran. Foto: IHSAN media sosial

Tambahnya, Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM Putrajaya dan Unit Pengesan K9 sedang melaksanakan siasatan bagi mengenal pasti sumber nyalaan (SN) dan punca kebakaran serta anggaran kerugian. – Malaysiapost

Komen