6 negeri sedia bubar DUN serentak – Aminuddin

6 negeri sedia bubar DUN serentak – Aminuddin

ENAM negeri menyatakan kesediaan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara bersama, sekali gus membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan serentak.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata kesediaan itu disuarakan hasil perbincangan tidak rasmi bersama menteri besar dan ketua menteri dari lima lagi negeri ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu, baru-baru ini.

Selain Negeri Sembilan, katanya, lima lagi adalah Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Bagaimanapun, katanya, ia masih tertakluk kepada persetujuan di peringkat parti masing-masing yang menjadi teraju kerajaan di semua enam negeri berkenaan.

“Alhamdulillah, mereka semua (pemimpin negeri) nampak bersetuju dan kita akan bersama membuat keputusan (mengenai pembubaran DUN secara serentak).

“Namun kesediaan ini hanya membabitkan peringkat menteri besar dan ketua menteri, tetapi kita ada presiden parti, timbalan Presiden dan majlis presiden serta rakan lain juga ada pemimpin utama yang perlu dirujuk.

“Bagi kami di peringkat awal ini telah memberi kata putus bahawa kita akan bersama bagi mengadakan PRN secara bersama. Mesej ini kita akan sampaikan kepada pimpinan tertinggi parti,” katanya memetik Berita Harian.

Aminuddin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Sembilan, berkata langkah mengadakan PRN serentak dengan lima negeri itu akan memudahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau berkata, ia juga dapat menjimatkan wang selain memudahkan urusan pengundi untuk pulang ke kampung dan sebagainya.

Bagaimanapun, katanya, tarikh sebenar bagi PRN itu belum ditetapkan dan kemungkinan ia akan diadakan sebaik tempoh penggal ini berakhir.

“Kalau boleh kita nak selesaikan sekali supaya tumpuan berikutnya dapat diberikan kepada urusan dan tugas pembangunan negeri dan negara,” katanya.

Sebelum ini, Aminuddin membayangkan PRN akan diadakan selepas Aidilfitri iaitu sekitar Jun tahun depan. – Malaysiapost

Komen