‘Alhamdullah, BN menang di Tioman’ – Asyraf Wajdi

‘Alhamdullah, BN menang di Tioman’ – Asyraf Wajdi

BARISAN Nasional dilaporkan mendahului undian di pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman dengan majoriti sebanyak 638 undi.

Keputusan tidak rasmi kemenangan BN tersebut turut disahkan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebentar tadi.

“Alhamdulillah BN menang di Tioman dengan majoriti 638,” tulisnya di hantaran Facebook.

Terdahulu, setakat jam 7.50 malam, BN dilaporkan menang dengan majoriti 600 undi menentang Perikatan Nasional (PN) di DUN Tioman.

Keputusan tidak rasmi menjadikan BN mendahului dengan 7,222 undi, manakala PN mempunyai 6,564 undi.

Pilihan raya DUN Tioman yang membabitkan 28,108 pengundi, dilaksanakan secara berasingan daripada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu berikutan kematian seorang calon yang bertanding di kerusi itu sebelum hari mengundi.

Calon asal PN bagi DUN Tioman, Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada awal pagi 19 November.

DUN Tioman menyaksikan saingan lima penjuru, membabitkan calon PN, Nor Idayu Hashim, Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN), Osman A Bakar (Pejuang), Sulaiman Bakar (BEBAS).

Seorang lagi calon, Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) bersetuju memberi laluan kepada calon BN yang juga penyandang tiga penggal kerusi itu mempertahankan kawasan terbabit, tetapi nama Mohd Fadzli masih kekal di atas kertas pengundian. – Malaysiapost

Komen