BN berjaya pertahankan kerusi Tioman

BN berjaya pertahankan kerusi Tioman

BARISAN Nasional berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung hari ini.

Calon BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain memperoleh 8,080 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Nor Idayu Hashim dengan majoriti 573 undi.

Nor Idayu mendapat 7, 507 undi manakala calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Fadzli Mohd Ramly yang sebelum ini mengumumkan menarik diri mendapat 784 undi.

Dua lagi calon, Osman Bakar daripada Pejuang mendapat 79 undi dan Sulaiman Bakar (Bebas) mendapat 58 undi, masing masing hilang deposit.

Keputusan pilihan raya DUN Tioman menyaksikan BN Pahang kini memiliki 17 kerusi DUN, iaitu jumlah yang sama kerusi DUN dimenangi PN Pahang dalam PRU15.

Pilihan raya DUN Tioman yang membabitkan 28,108 pengundi, dilaksanakan secara berasingan daripada PRU15 pada 19 November lalu berikutan kematian seorang calon yang bertanding di kerusi itu sebelum hari mengundi.

Calon asal PN bagi DUN Tioman, Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada awal pagi 19 November.

Mohd Johari menyandang kerusi DUN Tioman sejak 2008 dan menang dengan majoriti 1,280 undi dalam pertandingan empat penjuru pada PRU14 lalu. – Malaysiapost

Komen