Calon tarik diri akan diumum menang jika dapat undi tertinggi – SPR

Calon tarik diri akan diumum menang jika dapat undi tertinggi – SPR

CALON Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang menarik diri akan tetap diumumkan sebagai pemenang jika mendapat undi tertinggi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata kemenangan mereka juga dikira keputusan rasmi memandangkan mereka merupakan calon yang sah.

“Kita umum (sebagai pemenang) sebab calon yang tarik diri hanya (dibenarkan) waktu pencalonan sahaja pada hari yang berkenaan (penamaan calon).

“Jadi selepas jam 10 pagi, sudah tak ada. Maknanya walaupun tarik diri, kalau dia menang tetap disahkan sebab dia layak bertanding,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Badlishah, Kulim, Kedah.

Sebelum ini, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Padang Serai, Datuk C Sivaraj dan calon Parti Warisan, Mohd Bakhri Hashim mengumumkan menarik diri bagi memberi laluan kepada calon Pakatan Harapan (PH), Dr Mohamad Sofee Razak.

Di Tioman, calon PH, Mohd Fadzli Mohd Ramly mengambil pendirian memberi laluan kepada calon BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain sebagai tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan nasional.

Pengundian di kedua-dua kawasan itu diadakan pada hari ini susulan kematian calon PH di Parlimen Padang Serai pada 16 November dan calon Perikatan Nasional (PN) pada 19 November.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, statistik pengundi muda pada sebelah pagi masih rendah disebabkan beberapa faktor termasuk hari mengundi yang jatuh pada hari bekerja dan kejohanan bola sepak Piala Dunia 2022.

“Di saluran empat, lima, enam dan tujuh agak perlahan sedikit orang muda ini mungkin agak sibuk tengok bola dan bekerja. Bagaimanapun saya lihat semangat orang di Padang Serai ini terutamanya amat baik,” katanya.

Abdul Ghani berkata, keputusan rasmi bagi Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman dijangka dapat diumumkan selewat-lewatnya jam 10 malam ini. – Malaysiapost

Kredit foto: Utusan Online

Komen