Dana judi: Usah jadikan kerajaan perpaduan sebagai ‘Kerajaan Pak Pandir’

Dana judi: Usah jadikan kerajaan perpaduan sebagai ‘Kerajaan Pak Pandir’

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) menegaskan dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Perikatan Nasional (PN) mendapat dana pilihan raya daripada syarikat perjudian sebagai sangat dangkal dan jauh meleset.

Ketuanya, Datuk Ahmad Yahya turut mempersoal bagaimana seorang Perdana Menteri menjustifikasikan dakwaan beliau sebagai sekadar “membayangkan” wujudnya penerimaan dana tersebut, bukan sebaliknya daripada bukti yang jelas dan nyata.

Sehubungan itu beliau meminta Anwar usah menjadikan kerajaan tempang yang dibentuk pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai ‘Kerajaan Pak Pandir’.

Beliau menegaskan, komitmen kerajaan PN sangat jelas dalam isu perjudian apabila Kedah pimpinan PN tegas dengan komitmen menutup premis perjudian di seluruh negeri itu bermula tahun 2023, menuruti langkah diambil Kelantan dan Terengganu.

“Sejak bila syarikat perjudian sangat mesra dengan PN sehingga sanggup mendanai perjalanan pilihan rayanya?

“Malah, kutipan cukai sektor perjudian semasa era pemerintahan singkat PH mencecah RM3.43 bilion (2019), tertinggi sejak tahun 2010.

“Apakah Anwar mempunyai tekad politik untuk menutup terus premis perjudian sebagaimana langkah yang diambil Kerajaan PN ini?,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmah menambah, persoalan paling mustahak adalah penerimaan dana asing oleh PH yang telah mencetus kebimbangan ramai sebelum ini.

Menurutnya, perkara tersebut didedahkan sendiri oleh Presiden International Republican Institute (IRI), Daniel Twining pasca PRU14 yang lalu.

Tegasnya, dakwaan itu lebih berbahaya kerana mendedahkan kedaulatan negara kepada kepentingan asing namun masih tiada siasatan mahupun jawapan yang tuntas terhadapnya.

“DUPP turut menyokong langkah yang diambil oleh PN/PAS untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Anwar atas dakwaan yang sangat tidak bertanggungjawab itu,” katanya lagi. – Malaysiapost

Komen