DAP hantar 6 nama calon timbalan menteri

DAP hantar 6 nama calon timbalan menteri

SEBANYAK enam nama calon timbalan menteri dilapor telah dihantar DAP untuk dipertimbangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Difahamkan, walaupun enam orang dicadangkan namun bukan semuanya akan diterima dan dijangkakan DAP hanya mendapat tiga hingga empat jawatan, lapor China Press.

Nama yang dicadangkan DAP termasuk Teo Nie Ching (Kulai), Liew Chin Tong (Iskandar Puteri), Chong Chieng Jen (Stampin), Chan Foong Hin (Kota Kinabalu), Young Syefura Othman (Bentong) dan Steven Sim (Bukit Mertajam).

Antara kementerian yang disasarkan DAP ialah Kementerian Pendidikan, Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Perpaduan Negara serta Kementerian Perladangan Dan Komoditi.

Secara keseluruhannya, PH dijangka mendapat 15 jawatan dengan PKR memperoleh antara tujuh hingga sembilan jawatan.

Dalam pada itu, BN juga dijangka mendapat tujuh jawatan, tetapi MCA dan MIC dijangka tidak diberi jawatan.

Sementara itu, Kabinet dijangka memperincikan skop kementerian termasuk menentukan kementerian mana yang bertanggungjawab terhadap isu perumahan, seni dan kebudayaan.

Berdasarkan nama kementerian yang baharu iaitu Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Pelancongan, adalah tidak jelas sama ada skop tanggungjawab mereka juga meliputi perumahan serta seni dan kebudayaan. – Malaysiapost

Komen