Ejen hartanah rugi hampir RM8 juta ditipu Macau Scam

Ejen hartanah rugi hampir RM8 juta ditipu Macau Scam

SEORANG wanita yang juga ejen hartanah kerugian hampir RM8 juta selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menggunakan modus operandi terkini dengan menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) pada 18 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata wanita tempatan berusia 66 tahun itu membuat laporan polis berhubung penipuan berkenaan pada jam 12.30 tengah hari kelmarin.

Menurutnya, mangsa mendakwa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai KKM dari Bahagian Khidmat Pelanggan Cawangan Putrajaya.

“Suspek mengatakan terdapat 52 dos vaksin Sinovac telah dimohon atas namanya secara tidak sah dan kononnya KKM sedang menjalankan siasatan mengenainya.

“Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada ‘polis’ yang memberitahu mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan terdapat waran tangkap atas namanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mangsa kemudian dinasihatkan membuka tujuh akaun bank tempatan yang baharu serta menyerahkan semua maklumat akaun bank berkenaan kepada suspek.

“Suspek mengarahkan mangsa agar membuat transaksi pemindahan wang simpanan peribadi mangsa berjumlah RM7,739,356 ke dalam tujuh akaun bank baru terbabit.

“Setelah transaksi pemindahan berjaya dilakukan, mangsa membuat semakan dengan Bank Negara Malaysia dan dimaklumkan terdapat transaksi pengeluaran daripada ketujuh-tujuh akaun bank baharu itu.

“Mangsa yang tidak puas hati dan rasa tertipu kerana transaksi pengeluaran berkenaan dilakukan tanpa pengetahuan dan kebenarannya kemudian membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – Malaysiapost

Komen