Gabungan BN-PN tidak lagi relevan, buang masa – Puad

Gabungan BN-PN tidak lagi relevan, buang masa – Puad

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menegaskan gabungan Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan baharu sudah tidak lagi relevan.

Justeru, beliau menggesa semua pihak supaya tidak lagi memikir dan membangkitkan perkara berkenaan kerana ia disifatkan membuang masa.

“Gabungan BN-PN untuk membentuk kerajaan baru sudah tidak lagi relevan. Tidak perlu difikirkan. Ia membuang masa.

“Isu PN-BN bergabung jika Bersatu tidak lagi dipimpin oleh (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) adalah mengarut. Muhyiddin dan (Datuk Seri) Hamzah (Zainudin) sama sahaja. Dua-dua suka tikam belakang,” katanya menerusi Facebook.

Semalam media melaporkan, PN didakwa terlepas peluang membentuk kerajaan bersama dengan BN selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana Muhyiddin bertegas mahu menjadi Perdana Menteri.

Seorang pemimpin Bersatu yang enggan dikenali percaya, Umno mungkin lebih terbuka untuk bekerjasama jika ia dipimpin oleh pemimpin yang lebih pragmatik seperti Hamzah.

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata, Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar diberi peluang mentadbir negara sehingga tamat tempoh PRU16.

“Negara tidak perlu pertukaran kerajaan sebelum PRU16. Ia mesti dihalang. Umno bukan ‘pak turut’ dalam kerajaan baru. Tetapi Umno jadalah ‘partner’ yang boleh bekerjasama demi rakyat,” katanya. – Malaysiapost

Komen