Ismail Sabri, Zahid ucap tahniah BN kekal di DUN Tioman

Ismail Sabri, Zahid ucap tahniah BN kekal di DUN Tioman

PEMIMPIN Umno mengucapkan tahniah kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohd Johari Hussain yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, bagi Pilihan Raya Umum ke-15(PRU15).

Bekas Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi kenyataan di Facebook, menzahirkan penghargaan kepada jentera BN yang menyumbang kepada kemenangan BN di Tioman.

“Tahniah BN. Tahniah Datuk Seri Mohd Johari Hussain, calon BN PRK (Pilihan Raya Kecil) DUN Tioman atas kemenangan BN di DUN Tioman pada PRK kali ini.

“Sejuta penghargaan kepada semua jentera Barisan Nasional (BN) yang bertungkus lumus demi kemenangan calon BN di DUN Tioman.

“Terima kasih kepada pengundi DUN Tioman yang telah memilih BN,” katanya dalam hantaran itu, malam ini.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan terima kasih kepada pengundi di Tioman masih mempercayai BN.

“Tahniah kepada jentera Barisan Nasional Pakatan Harapan dan terima kasih kepada pengundi-pengundi yang telah memilih BN sebagai wakil rakyat mereka,” tulisnya dalam hantaran Facebook.

BN berjaya mengekalkan kerusi DUN Tioman dalam pilihan raya yang berlangsung hari ini.

Calon BN, Mohd Johari memperoleh 8,080 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Nor Idayu Hashim dengan majoriti 573 undi.

Nor Idayu mendapat 7,507 undi manakala calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Fadzli Mohd Ramly yang sebelum ini mengumumkan menarik diri mendapat 784 undi.

Dua lagi calon, Osman Bakar daripada Pejuang mendapat 79 undi dan Sulaiman Bakar (Bebas) mendapat 58 undi, masing masing hilang deposit.

Pilihan raya DUN Tioman yang membabitkan 28,108 pengundi, dilaksanakan secara berasingan daripada PRU15 pada 19 November lalu berikutan kematian seorang calon yang bertanding di kerusi itu sebelum hari mengundi.

Calon asal PN bagi DUN Tioman, Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada awal pagi 19 November. – Malaysiapost

Komen