Kabinet Anwar curi tumpuan, hadir mesyuarat tanpa pakai tali leher

Kabinet Anwar curi tumpuan, hadir mesyuarat tanpa pakai tali leher

MESYUARAT Kabinet Kerajaan Perpaduan hari ini mencuri perhatian ramai apabila barisan menteri tampil tanpa mengenakan tali leher seperti biasa.

Penampilan Kabinet pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu tular selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memuat naik gambar menerusi laman Twitternya, hari ini.

Turut kelihatan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali juga tidak memakai tali leher.

Dalam foto tersebut, kesemua menteri lelaki hanya memakai sut gelap yang dipadankan dengan kemeja rona cerah.

Sebelum ini, Anwar sejak dari dahulu dikatakan hanya akan pakai tali leher ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong dan sidang Parlimen.

Selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10, 24 November lalu, penampilan Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sentiasa mendapat perhatian.

Pada hari pertama menjejakkan kaki ke Putrajaya sebagai Perdana Menteri, Anwar selesa menggayakan baju Melayu berwarna merah jambu lembut lengkap bercapal,

Keesokannya pula, beliau yang mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara selesa menggayakan baju batik ungu di kala penjawat awam lain lengkap mengenakan lounge suit.

Sementara ketika tampil di Kementerian Kewangan semalam, beliau kekal dengan penampilan ringkas tidak memakai tali leher meskipun mengenakan sut pejabat. – Malaysiapost

Komen